Tuesday, March 4, 2014

Pertandingan Menulis Cerpen Pendek Anjuran Rafina Mimi Abdullah

 THE REUNION.

  Saat kaki melangkah masuk ke dewan utama, dalam fikiran masih tertanya-tanya, siapa yang telah mengirimkan kad jemputan itu kepadaku. Rasanya sudah terlalu lama aku meninggalkan zaman kolej. Hanya beberapa orang sahaja yang masih lagi berhubung denganku. Yang lain hilang entah kemana. Debaran semakin kencang bila cuba mengingati kembali setiap wajah rakan sekelasku. Dan yang paling tak pernah aku lupa, si dia. Hadirkah dia pada malam ini?

  Dewan dihias sangat cantik, kena dengan tema malam ini, Fairy Tales. Tak sia-sia aku pakai baju ala-ala cinderella ni. Kehadiran aku disambut mesra oleh dua penyambut tetamu. Belum sempat aku ingin bertanya siapa yang anjurkan majlis ni, seseorang menyapaku.
   “Hai,Lili...” Aku terus memandang kebelakangku.Seakan kenal benar dengan suara itu. Memang tak salah lagi, kawan baikku, Khalisa. Sekarang sudah berumahtangga dengan salah seorang rakan sekelas kami, Shahrizal. Shahrizal dulu memang ramai peminat dan tak sangka pula mereka berdua boleh kekal sehingga sekarang. Dah jodoh kan.
   “Hai! Amboi sekarang, makin mantap walaupun ada anak kembar.” Aku bersalaman dengannya. “Mana suami kesayangan kau?”
   “Ada, dengan kawan-kawan yang lain. Kau datang sorang aje ke? Takkan single lagi?” Khalisa bertanya. Memang antara kami tiada rahsia. Semua benda kami kongsi. Tapi kekasih hati memang tak lah. Nak mampus??
   “Aku datang sorang je. Mana ada lelaki nak teman aku ni. Dah lah tak cantik, pendek pula tu.” Aku sengaja buat muka sedih. Khalisa hanya tergelak. Kami bersama-sama masuk ke dalam dewan utama. Tak sangka, ramai sangat yang hadir pada malam ini. Masing-masing dah berubah. Sudah ada kehidupan sendiri. Lagu-lagu berkumandang dengan begitu rancak sekali. Makanan yang dihidang pun kelihatan enak belaka. Dewan semakin riuh dengan gelak tawa rakan-rakan. Sudah hampir lapan tahun tidak bertemu, macam-macam cerita. Masing-masing mengimbau kembali kenangan dulu-dulu dari mula masuk semester pertama hingga semester terakhir. Banyak kenangan indah yang terjadi.

  Sedang asyik berbual, dari jauh aku melihat seorang gadis menuju ke arah kami. Macam pernah jumpa sebelum ini. ‘Cantik!’Hatiku berbisik. Dia semakin menghampiri, senyuman manis dilemparkan kepada kami yang masih lagi asyik memandangnya. Siapakah dia?
   “Hai semua! Kenapa semua pandang I macam tu?” Dia tergelak. Haa...macam pernah dengar je suara ni. Tak mungkin dia...
   “Bella?” Salah seorang dari kami meneka. Dia sekadar mengangguk. Ya Allah, lain benar rupanya sekarang. Mungkin dulu dia berkacamata, sebab itu nampak lain. Sekarang nampak anggun jelita. Dah macam model. “Wow, tak sangka. Makin cantik sekarang.”
   “Mana ada, macam dulu juga.” Dia tersenyum. “Lili, Lisa, korang pun datang. Dah lama tak jumpa kan. I rindu kat korang semua.” Kami berdua hanya senyum dan memandang antara satu sama lain. Rindu konon. Dulu bukan main lagi kita bermusuh. Pantang jumpa je mesti gaduh. Ada saja benda yang dia tak puas hati. Selalu kenakan kami dan selalu sebarkan fitnah. Kami berdua pun pernah hampir putus kawan sebab dia. Tapi itu semua dulu, sekarang masing-masing dah dewasa. Malas nak ingat benda lepas.
   “Aah kan. Rindu sangat nak gaduh dengan kau.” Aku sengaja berkata begitu. Sekadar ingin melihat reaksinya. Khalisa menyikuku. Suasana disitu diam seketika.
   “Ala, benda dah lepas kan. Dulu kita budak-budak lagi.” Wajahnya tenang sahaja. Mungkin dia dah berubah. Alhamdulillah. Masing-masing tergelak. Suasana kembali riuh.

 Sementara itu,  beberapa orang rakan lelaki berkumpul sama seperti kami, bergelak ketawa. Dari jauh aku melihat si dia. Sama seperti dulu, hanya diam tak banyak bercakap. Malam ini dia begitu kacak. Aku sekdar mampu lihat dari jauh. Dia bukan jenis yang mudah untuk didekati. Ego mengalahkan gunung everest tingginya. Sudah kahwinkah dia?  Khalisa menarik tanganku dan mendekatkan bibirnya ditelingaku.
   “Dia masih lagi single. Kau masih ada peluang.” Khalisa mengenyitkan matanya padaku.
   “Ish,kau ni! Mustahil. Aku ni bukan jenis yang dia minat la.” Aku menundukkan wajahku. Rasa macam naik merah muka menahan malu. Macam mana Lisa boleh perasan aku sedang perhatikan dia. “Emm..Bella, kau kerja kat mana sekarang?” Aku sengaja alihkan topik perbualan bagi menghilangkan rasa malu.
   “Hah? I.. I tak kerja. Malas lah nak kerja. Papa I hantar I pergi luar negara, rumah aunty I. Tolong aunty I kat sana tengok-tengokkan bisnes dia.”
   “Haa Bella, I nak tanya you ni. Tapi you jangan marah tau. I pon dapat tau dari orang lain.”  Jessica tiba-tiba mencelah.
  “Tanya lah. I ok je.”
   “I dengar you ada buat plastic surgery kat luar negara. Sebab tu you tak ada kat malaysia. Betul ke?” Nasib tak tersembur je air sirap dalam mulut aku ni. Berani betul Jessica tanya. Tapi Jessica memang jenis macam tu. Kalau dia nak tau sesuatu, dia takkan segan silu nak tanya. Masih tak berubah perangai Jessica ni. Semua kawan-kawanku yang lain memandang tepat ke wajah Bella. Ada riak gelisah di wajahnya.
   “Hei, Jess! Choi! Mana ada. Ni wajah original tau. Mungkin you all nampak lain sebab I pakai make up dan lens kot.” Nada suara seakan menyembunyikan sesuatu. Ah, lantak kau lah...

 “Ladies and gentlemen...” Semua tetamu memandang ke arah pentas utama. Pengacara majlis mula berceloteh bagi memulakan acara pada malam ini. “Kami ingin berterima kasih pada Miss Nabella Idora kerana telah menganjurkan majlis pada malam ini. Majlis ini bertujuan untuk mempertemukan semula rakan-rakan kolajnya dulu. Berkan tepukan gemuruh untuk Miss Bella” Masing-masing terbeliak biji  mata apabila mengetahui siapa penganjur yang sebenarnya. Akhirnya persoalan terjawab. Tapi memang masuk akal pun kalau dia yang sponsor. Anak Dato’ la katakan. Suasana majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan tarian dan nyanyian.
   “Lili, aku nak beredar kejap. Nak cari Shah. Risau pula tinggal dia lama-lama.” Khalisa segera bangun dari tempat duduknya.
   “Amboi, kau! Takut sangat suami dia kena kebas. Jangan risau lah. Kau kan dah kahwin dengan dia.” Aku sekadar mengusik.
   “Orang lelaki ni kalau dibiarkan susah. Kau tau-tau je la si Shah tu macam mana. Perangai dulu memang susah nak berubah.” Aku menggelengkan kepala lalu membiarkan Khalisa beredar. Aku faham benar dengan perangai dua orang ni. Macam belangkas. Mana boleh berjauhan.
   “Ok semua, sekarang kita ada satu pengumuman.” Muzik tiba-tiba dihentikan. Aku malas nak ambil tahu apa yang pengacara majlis ingin umumkan. Makan lagi best. “Sesiapa yang ingin membuat persembahan, tak kira lah sama ada nyanyian atau tarian, sila ke belakang pentas.” Aku terus memandang ke arah pentas. Nasib baik tak tercekik tulang ayam. Macam menarik je. Dalam kepala ada satu idea yang seakan-akan memaksa aku untuk laksanakannya.

   Biar betul apa aku nak buat ni. Kaki seakan kaku, jantung makin laju berdegup. Dari atas pentas, aku dapat melihat semua tetamu yang hadir dengan jelas. Tapi, mana dia?
  “Ehem...” Semua mata memandangku. ‘Ni yang aku ketar lutut ni. Nak teruskan ke tak nak ni. Nanti aku juga yang malu muka.’ Aku pejamkan mata buat seketika. Nafas ditarik sedalam mungkin. Kalau aku tak lakukannya sekarang, sampai bila-bila aku akan menyesal. No pain, no gain!
   “Hello semua. Malam ni, saya nak sampaikan satu lagu khas buat seseorang yang selama ini saya suka dalam diam. Saya tak pasti sama ada dia menyedarinya atau tak. Dari hari pertama saya bertemunya di kolej, saya sudah jatuh hati pada dia.Apa yang penting, malam ini saya persembahkan lagu ini khas untuknya. Terimalah.” Aku menundukkan wajahku. Agaknya sudah naik merah. Malu! Namun aku kuatkan hati. Aku dendangkan lagu itu dengan penuh perasaan, namun aku langsung tidak nampak si dia berada di bawah sana. Mungkin dia sudah balik. Aku redha. Mungkin jodohku dengannya.
  Sebaik sahaja lagu itu habis, masing-masing bersorak dan meminta aku untuk pusing ke belakang. Alangkah terkejutnya aku melihat dia berdiri dibelakangku sambil memegang sejambak bunga ros. Dia terus mengambil mikrofon dari tanganku.
   “Maaf semua kerana saya mengganggu. Saya mencari seseorang yang saya minat dari dulu lagi tapi saya tak jumpa....” Airmukaku terus berubah. Deawan yang tadi riuh rendah dengan sorakan tiba-tiba sunyi seketika. Aku kecewa lalu bergegas turun dari pentas. Belum sempat aku melangkah, tanganku ditarik.  “Sebab itu saya naik ke pentas ini, si dia yang saya minat selama ini berada di sini.” Dia tersenyum memandang aku. Airmata mula membasahi pipi. Tak dapat disekat lagi. Dia, Mohd Aidil, insan yang selama ini aku tunggu.
   “Kenapa baru sekarang?” Akhirnya aku bersuara.
   “Sekarang baru masa yang sesuai untuk saya melamar awak untuk jadi isteri saya. Sudikah awak?” Dia menghulurkan sebentuk cincin kepadaku. Mimpikah aku? Tanpa berkata apa-apa, aku sekadar mengangguk sebagai tanda setuju. Speechless!
 Baammm! Terdengar bunyi tembakan. Suasana menjadi huru-hara. Aku memegang erat tangan Aidil mengekorinya dari belakang. Aku seperti dalam keadaan separuh sedar. Terasa tembakan itu dekat denganku.
   “Hello semua... Jangan takut. Jangan bising. Aku bukan nak tembak korang semua.” Semua terdiam. Masing-masing memandang ke atas pentas. Nabella? Yang lain semua bergegas keluar.  “Kawan-kawan tersayang. Jangan lari. Khalisa? Shah? Kamu berdua nak lari kemana?” Nabella melompat turun dari pentas. Pistol di acu tepat ke arah Khalisa. Aku tergamam. Aidil cuba menarik tangan aku mengajak aku keluar namun aku menarik lembut tanganku. Khalisa dalam bahaya. Aku harus selamatkan dia.
  Dewan yang tadi meriah dengan lagu dan riuh rendah kawan-kawan sekarang hanya tinggal gelak tawa Nabella yang makin menyeramkan. Kenapa dia bereaksi sedemikian. Apa salah Khalisa padanya. Di dalam dewan itu hanya aku, Khalisa, Shahrizal, Aidil sahaja yang tinggal.
   “Jangan takut Lisa. Aku bukan nak tembak kau. Aku nak bunuh Shah!” Tegas Nabella.
   “No!” Khalisa menarik tangan Shah. “Kenapa Bella? Apa salah Shah kat kau? Apa yang kami buat kat kau hinggakan kau mahu bunuh kami?” Khalisa bertanya dengan nada sebak.
   “Memang kau salah. Salah kau kerana memiliki Shah. Sepatutnya Shah milik aku.” Nabella mengacukan pistol ke arah Shah pula. Aku dan Aidil sekadar memerhati dari jauh. Khalisa memandang Shahrizal.
   “Itu cerita dulu. Dah lama berlalu.” Shahrizal bersuara sambil memegang erat isterinya.
   “Shah, dulu kau kutuk aku, kau kata aku hodoh, buruk. Kau tolak aku hanya kerana aku hodoh. Tapi sekarang aku dah cantik. Cantik kan. Aku sanggup habiskan duit aku semata-mata nak nampak cantik untuk kau. Itu pun kau tak nak hargai.” Suara Nabella kian suram. Memang dulu Shahrizal ramai peminat. Tak sangka Nabella juga meminatinya.
   “Kau dan Shah memang tak ada jodoh, Bella. Dia milik aku sekarang. Aku minta maaf. Lepaskanlah kami.” Khalisa merayu. Aku dan Aidil berjalan menghampiri Shahrizal dan Khalisa.
   “Jangan cakap banyak Lisa. Cuba kau ditempat aku, mungkin kau buat benda yang sama. Aku cintakan kau, Shah. Please, be mine!” Nabella cuba menagih simpati.
   “Tidak, Bella. Aku sayangkan Khalisa. Aku sayangkan anak-anak aku. Jangan pisahkan kami. Biarkan  kami bahagia.” Shahrizal cuba memujuk.
  “Ok, Shah. Kalau itu keputusan kau. Lisa, kalau aku tak dapat miliki Shah, kau pun sama tak dapat miliki Shah. Lebih baik kau mati Shah.” Pistol diacu tepat pada Shahrizal. Aidil berlari selaju mungkin untuk cuba merampas pistol ditangan  Nabella. Belom sempat Aidil merampasnya, satu das tembakan tepat pada dada Shahrizal.
   “Shah!” Khalisa menjerit sekuat hati. Aidil masih lagi bergelut dengan Nabella. Nabella semakin lemah lalu melepaskan pistol ditangannya. Dia terduduk.

Beberapa minit kemudian polis tiba. Seorang wanita menghampiri kami.
   “Bella! Apa yang Bella dah buat ni?” Wanita itu memeluk Nabella. “Maafkan saya semua. Saya Jasmin, kakak Nabella. Saya tak sangka yang dia akan buat perkara ni.” Jasmin mula menangis. Kami hanya diam. Khalisa memegang erat tangan Shah.
   “Aidil, dah call ambulan?” Melihat keadaan Shah yang semakin tenat. Mampukah Shah bertahan. Khalisa tak henti menangis. Aidil sekadar mengangguk.
   “Pada mulanya saya ingat reunion yang Bella anjurkan ni sekadar ingin berkumpul dengan kawan-kawan. Saya faham benar dengan sikap dia. Dia tak pernah ok dengan kamu semua kan? Tapi, selepas saya dapat tahu pistol milik papa kami hilang, sesuatu yang buruk bakal berlaku. Dan sekarang, ini sudah terjadi. Maafkan saya sebab terlambat.”  Nabella cuba meronta-ronta. Tak mahu dipeluk. Dua anggota polis menghampiri kami dan membawa Nabella dan Jesmin ke balai untuk disoal siasat.
 Aku mula resah. Ambulan masih tidak sampai. Shah pula tidak mahu kami membawanya ke hospital.
   “Sayang. Maafkan Shah. Shah sayang Lisa. Jaga anak-anak kita. Shah...” Shahrizal cuba berbicara walaupun sekarang dia dalam keadaan kritikal.

   “Shah, Lisa sayangkan Shah. Jangan tinggalkan kami, Shah. Kami perlukan Shah.” Airmata Khalisa semakin laju mengalir. Namun kami tak dapat berbuat apa-apa. Shahrizal telah pergi selamanya. Aku memeluk Khalisa dari belakang. “Shah.....” Khalisa cuba untuk tidak meraung. Khalisa memang seorang yang tabah. Aku tahu dia dapat hadapi semua ini. Semua sudah tertulis. Nabella...hidup ini karma. Kau jangan ingat kau akan terlepas.

No comments: